SHAH ALAM, 15 Oktober – Konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) keempat dijadual akan berlayar menuju ke Gaza pada pertengahan atau penghujung November ini.
- Konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) keempat dijangka berlayar ke Gaza pada pertengahan atau penghujung November.
- MAPIM merancang misi dengan perancangan teliti dan pendekatan baharu untuk menembusi sekatan rejim Zionis.
- Akan diadakan mesyuarat antarabangsa untuk mengkaji semula strategi selepas nasib tiga flotila terdahulu.
- Kerjasama MoU antara MAPIM dan Institut Akhbar Malaysia bertujuan memperkukuh peranan media bagi isu kemanusiaan.
- MAPIM mengusulkan penghantaran 200 kontena bantuan melalui laluan darat Rafah dan sedang runding dengan Mesir.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Muhammad Azmi Abdul Hamid berkata misi kemanusiaan itu disusun dengan perancangan teliti serta pendekatan baharu, dalam usaha menembusi sekatan rejim Zionis bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
“Kita bercadang flotila itu harus bergerak paling lewat November ini, saya akan adakan mesyuarat antarabangsa untuk kaji semula tiga flotila, semua nasib sama, sampai zon (merah) ditangkap, habis…jadi kita nak tengok strategi lain dan tetap akan terus untuk pecah kepungan itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani satu memorandum persefahaman di antara pihak MAPIM dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) di ibu pejabat MAPIM di Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Kerjasama itu bertujuan memperkukuh peranan media dalam mengetengahkan isu kemanusiaan sejagat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap konflik global.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Azmi memaklumkan pihaknya telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan cadangan penghantaran 200 kontena berisi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan darat di pintu Rafah.
“Kita nak cuba tekankan untuk 200 kontena dari kita, itu yang kita bincang dengan Perdana Menteri supaya Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi beri keutamaan kepada Malaysia, itu sedang dirunding, sebab itu saya nak pergi sana untuk tengok prosedur,” jelas beliau.