fb fb fb fb fb

Lakukan perubahan kembalikan nilai akhlak, kemanusiaan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Oktober - Semua pihak berperanan untuk melakukan Islah atau perubahan mengembalikan semula nilai akhlak dan kemanusiaan bagi menangani gejala sosial melibatkan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata semua pihak perlu mengambil iktibar dan berganding bahu untuk melakukan perubahan.

"Tidak boleh menyalahkan satu pihak ke satu pihak yang lain, ibu bapa, guru-guru, pensyarah, masyarakat, pimpinan politik. Isu bukan boleh ditangani hanya secara picisan, ianya perlu merangkumi secara keseluruhannya dari segi ekonominya, pendidikannya, dari segi politik dari budayanya dari segi keilmuannya", katanya.

Beliau berkata kepada media selepas diminta mengulas isu gejala sosial yang semakin membimbangkan berlaku dalam kalangan remaja baru-baru ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Multaqa MADANI PolyCC Peringkat Kebangsaan 2025 (MMP2025) di Putrajaya.

Platform ilmu dan wacana strategik itu menghimpunkan 600 peserta terdiri daripada 300 pensyarah Pendidikan Islam dan 300 pimpinan siswa Islam dari politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara.

Program itu melibatkan  kerjasama strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Duat Al-Falah, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Pusat Islam Politeknik Ungku Omar (PUO).  

Dengan tema ‘Mengakar Nilai, Menjulang Ihsan’ program itu turut menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025, Lonjakan 1: Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.

ROSLINA BINTI DIN