fb fb fb fb fb

Perak umum peruntukan bernilai RM1.1 juta bantu golongan peniaga kecil

IPOH, 6 Julai- Kerajaan Perak serius untuk membantu golongan peniaga kecil terutamanya daripada golongan asnaf, penerima bantuan bulanan, golongan OKU dan B40 untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui pejabat Menteri Besar bersetuju untuk meluluskan tiga program iaitu Program Biznita, Bizman dan Mentor Mentee Yong dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta.

Jelas beliau, program berkenaan akan memberi manfaat kepada 700 orang penerima di negeri tersebut.

"Untuk membantu golongan peniaga kecil yang telah berkecimpung dalam perniagaan dan juga mereka yang baru nak memulakan perniagaan bagi membantu menjana ekonomi keluarga mereka.

"Kita pun tahu sebelum ini, kita terjejas sebab PKP dan COVID-19 dan sekarang adalah kenaikan harga barang dan kos yang meningkat dan sebagainya dan sudah tiba masanya ramai golongan wanita yang menceburi bidang perniagaan ni untuk membantu keluarga mereka," kata Dr Wan Norashikin kepada pemberita RTM pada majlis penyerahan program Pemerkasaan Ekonomi (PRE Perak Sejahtera 2022) bagi Biznita, Bizman dan Mentor Mentee Yong, di sini.


(Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata demikian dalam satu sidang media)

Tambah beliau, Program Pengupayaan Ekonomi Wanita (BizNita) adalah bantuan yang bertujuan membantu peniaga dan usahawan kecil wanita di negeri berkenaan mendapatkan peralatan perniagaan untuk meningkatkan perniagaan dan ekonomi.

Katanya lagi, sebanyak 1,300 permohonan diterima pihaknya untuk ketiga-tiga program berkenaan setakat ini.

Media Baharu