fb fb fb fb fb

Penggunaan minyak masak paket di Kelantan meningkat dua kali ganda

GUA MUSANG, 6 Julai- Kadar penggunaan minyak masak subsidi di kawasan luar bandar di Kelantan meningkat dua kali ganda selepas pihak kerajaan memansuhkan subsidi minyak botol.

Bagi pengilang yang dilantik oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tambahan kuota minyak subsidi diperlukan bagi memenuhi kesinambungan bekalan.

Selain melaksanakan pembungkusan minyak masak, pengilang berdepan cabaran untuk memastikan bekalan diagihkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengurus Minyak Masak Cap Cincin, Zamzani Harun berkata ramai pengguna baharu telah beralih menggunakan minyak subsidi kerana harganya yang murah berbanding minyak botol.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya mendapat kuota pembungkusan 100 tan minyak masak subsidi sebulan bagi memenuhi keperluan pengguna di Gua Musang.

Jumlah itu dijangka tidak mencukupi di masa akan datang disebabkan permintaan tinggi buat masa ini daripada pihak pemborong dan peruncit.

"Jadi kita berharaplah dengan kenaikan harga minyak botol ini, pihak kerajaan dapat menambahkan lagi kuota minyak masak subsidi ini bagi membolehkan pengilang2 ni dapat beroperasi dengan baik dan menampung permintaan daripada pengguna-pengguna di daerah Gua Musang ini.

"Kita juga menaruh keyakinan pihak KPDNHEP dan pihak kerajaan akan dapat sama-sama membendung isu-isu berhubung ketirisan minyak masak bersubsidi ini dan saya juga nak menyeru kepada pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan mencukupi," kata Zamzani Harun kepada pemberita RTM.


(Pengurus Minyak Masak Cap Cincin, Zamzani Harun menjelaskan kepada media dalam satu temu bual hari ini)

Jelasnya, pihaknya kini mempunyai seramai 114 pemborong dan peruncit berdaftar bagi memasarkan minyak masak subsidi di Gua Musang.

Sebelum ini, kerajaan masih meneruskan subsidi minyak masak polibeg pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di seluruh negara.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2kg, 3kg dan 5kg tidak diteruskan bermula 1 Julai lalu.

Media Baharu