fb fb fb fb fb

Loji rawatan air di Sungai Dua kembali beroperasi - PBAPP

GEORGE TOWN, 6 Julai- Loji rawatan air di Sungai Dua kembali beroperasi selepas empat jam henti tugas kecemasan pagi tadi.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menggerakkan kerja-kerja kejuruteraan tindak balas kecemasan berkaitan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi menjalankan perawatan air bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataannya memberitahu, langkah kecemasan ini perlu untuk mengelakkan pengeluaran air terawat tidak selamat yang tidak mematuhi parameter Kawalan Kualiti Air Minuman ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sebagai langkah pemulihan, PBAPP segera mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah yang disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan air mentah di Terusan Sungai Dua," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda melalui terusan Sungai Dua ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) yang merupakan penarafan kekeruhan luar biasa tinggi, berikutan kekeruhan normal air mentah dari Sungai Dua adalah di bawah 1,000 NTU.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi pengeluaran air di Sungai Dua pada pukul 8 pagi dan membuka semula secara berperingkat apabila paras kekeruhan air mentah yang memasuki loji terpenting di Pulau Pinang itu berada pada tahap yang boleh diterima.


(Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa)

Kesan henti tugas selama 4 jam itu menyebabkan tekanan air di semua saluran paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang menurun ekoran LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 80% air terawat yang dibekalkan di seluruh Negeri Pulau Pinang setiap hari.

PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Negeri Pulau Pinang akan pulih semula pada jam 12 tengah hari esok.

Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut memaklumkan kadar keruhan air mentah yang tinggi dari Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Media Baharu