fb fb fb fb fb

Isu bekalan minyak masak bersubsidi dan harga ayam dan telur akan diberi tumpuan esok - JPM

PUTRAJAYA, 6 Julai- Laporan kedudukan terkini mengenai bekalan minyak masak bersubsidi, ayam dan telur akan diberi tumpuan dalam Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, esok.

Ia akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata laporan ini penting kerana ia merupakan isu yang kerap kali dibangkitkan rakyat memandangkan terdapat sesetengah kedai yang tiada bekalan.

Mesyuarat itu turut menyentuh mengenai tindakan yang telah diambil dan setakat mana tahap keberkesanannya.

"Jadi esok kita jangka akan menerima laporan tentang kedudukan terkini. Yang penting adalah tindakan-tindakan yang sudah diambil dan setakat mana keberkesanannya untuk kita pastikan dua perkara iaitu bekalan dan harga. Berkenaan harga, kerajaan nak pastikan bahawa ia tidak melebihi daripada harga bumbung atau harga siling yang ditetapkan," kata Datuk Seri Mustapa dalam satu sidang media di Putrajaya.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ia dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali selain Mustapa.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam sebuah sidang media di sebuah kafe di Putrajaya)

Media Baharu