fb fb fb fb fb

DBKL gerak aset ke Baling bantu bersihkan kawasan terjejas banjir

BALING, 6 Julai- Kementerian Wilayah Persekutuan menggerakkan aset Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu membersihkan kawasan yang terjejas banjir di daerah ini.

Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beberapa buah lori bersama aset lain serta sukarelawan DBKL telah pun bertolak dari ibu negara dan dijangka sampai di sini pada malam ini.

"Saya datang ini (untuk) membuat penilaian kerosakan yang berlaku dan mendapati kerosakannya agak teruk daripada yang saya tengok di Yan dahulu, jadi saya sudah minta DBKL datang dan insya-Allah mereka akan berada di sini pada malam ini.

"Mereka akan berada di sini sehingga semua kerja-kerja pembersihan selesai," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan itu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan agar bantuan segera disalurkan secepat mungkin bagi membantu mereka yang terkesan.


(Foto fail)

Selain itu, katanya banyak badan bukan kerajaan (NGO) turut berada di sini untuk membantu mangsa dan menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan, sekali gus menggambarkan keprihatinan Keluarga Malaysia.

"Banyak juga pihak-pihak seperti dari parti politik hadir memberikan sokongan, perdana menteri juga sebelum ini telah umumkan bantuan segera kepada mangsa," katanya. -BERNAMA

Media Baharu