(Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) oleh
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)
KUALA LUMPUR, 16 Julai- Kerajaan Perak menyasarkan kemasukan 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa ke negeri itu.
Sehubungan itu, Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) telah dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di ibu kota hari ini.
Sebagai kesinambungan kepada Majlis Pra Pelancaran TMP2024 itu, Tourism Perak turut menganjurkan Perak Travel Fair 2.0 yang berlangsung sejak 14 Julai hingga 16 Julai bertempat di Nu Sentral, Kuala Lumpur.
(Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad)
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, program itu disertai oleh seramai 22 orang pengusaha produk pelancongan, enam pengusaha makanan dan empat pengusaha produk kraftangan yang mengetengahkan keunikan produk pelancongan negeri Perak.
"Di majlis ini juga, Tourism Perak bekerjasama dengan Malaysia Travel Agents Association (MATTA) cawangan Perak membawakan seramai 32 agen pelancongan dan pengembaraan daripada Thai Travel Agents Association (TTAA) menerusi Program Fam Trip to Perak selama 5 hari 4 malam bermula dari 16 hingga 21 Julai 2023", katanya selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran TMP2024 di ibu negara.
Dengan objektif untuk berikan pendedahan dan maklumat terkini tentang produk dan destinasi menarik di Perak yang berpotensi dijadikan pakej khas sesuai dengan pasaran pelancong Thailand.
Jelasnya lagi, selain itu satu sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MATTA dan TTAA turut diadakan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama bagi menarik lebih ramai pelancong Thailand ke Malaysia khususnya ke negeri Perak.
Sebarang maklumat lanjut mengenai pelaksanaan program sempena Tahun Melawat Perak 2024, layari kesemua laman sosial media atau laman sesawang Tourism Perak.