IPOH, 26 Februari - Pelbagai program telah dirancang dalam usaha memperkasa sektor keusahawanan di Perak, tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ini termasuk langkah melahirkan lebih ramai usahawan baru dari seluruh negeri.
Jelasnya, antara program yang akan diteruskan termasuk penganjuran siri Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi negeri Perak 2024 yang menerima sambutan menggalakkan sepanjang 11 siri penganjurannya pada 2023.
"Program ini adalah bertujuan membantu seramai mungkin Usahawan dan Koperasi dari seluruh pelusuk negeri bagi mendapatkan maklumat dan bantuan dari lebih 42 agensi keusahawanan.
"Di samping itu promosi produk tempatan di daerah terlibat akan dipergiatkan selain Program 'Perak Road To Export, iaitu program bimbingan dan bantuan bersepadu bagi membantu seramai mungkin usahawan berpotensi baharu bagi meluaskan pasaran mereka sama ada di dalam mahu pun luar negara", katanya demikian sebagai menjawab soalan lisan ADUN Malim Nawar, V. Bavani pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.