fb fb fb fb fb

Perak pacu pemasangan stesen EV, sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu kerajaan negeri dan TNB mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur EV

IPOH, 2 Mei - Kerajaan Perak berhasrat memperluaskan pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) termasuk kawasan luar bandar dan destinasi pelancongan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu sebagai usaha menyokong agenda kelestarian alam sekitar termasuk menyahut kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan adanya kemudahan pengecasan EV di lokasi pelancongan, ia berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung.

"Saya percaya faktor ini akan mendorong TNB dan kerajaan negeri untuk mempercepatkan pemasangan pengecas EV tersebut demi menyokong sektor pelancongan negara.” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Poin Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) antara Casuarina Meru Sdn Bhd (CMSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ipoh.

Dalam pada itu, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan 500 stesen pengecas EV menjelang akhir tahun ini, selaras dengan matlamat nasional untuk mencapai 10,000 unit di seluruh negara dalam tempoh sama.

Datuk Seri Saarani juga mahu memperhebat kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat penyedia tenaga seperti TNB bagi mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur EV, khususnya di lokasi berpotensi tinggi.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD