IPOH, 22 Oktober- Kerajaan Perak menerusi inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengguna pakai kaedah thermowaste bagi sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu di bandar raya itu.
Menteri Besar Ipoh Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi menangani isu pencemaran bau dan meningkatkan kualiti kesihatan awam berikutan Ipoh berada di dalam kawasan Geopark Lembah Kinta.
Sekiranya berjalan lancar, Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia yang mengitar semula 100 peratus sisa pepejal menggunakan teknologi mesra alam yang akan diperluas ke 14 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kaedah itu merupakan pengasingan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah. Malah sisa pepejal yang diasingkan boleh memberi pulangan pendapatan melalui komoditi seperti biojisim, plastik dan logam untuk dijual kepada pihak industri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ulangtahun ke-5 Geopark Lembah Kinta dan Pelancaran International Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon Day di Dataran MBI di sini.
MBI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd dan Selektra Spektra bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat bagi cadangan pembinaan loji tersebut yang dijangka beroperasi Mac tahun hadapan.
Dua loji thermowaste dijangka akan digunakan bagi memproses kira-kira 500 tan sisa pepejal bagi seluruh kawasan Ipoh.
Perasmian disempurnakan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan turut berangkat Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.
(Saarani Mohamad)
Dalam perkembangan lain Saarani menafikan dakwaan PAS berkenaan kerajaan negeri itu melanggar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Jelasnya, kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu mewujudkan persepsi tidak baik terhadap kerajaan negeri kerana tidak membuat semakan terlebih dahulu.
Proses itu dilakukan sebelum dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi dikeluarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu.
"Industri NR-REE ini dia bermula di Perak. Perak yang diberi kebenaran untuk melakukan projek permulaan ke kawasan 216 ekar yang pertama. Projek itu mengikut SOP yang ditetapkan oleh kementerian pada masa itu KETSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) pada waktu itu kita telah berjaya untuk mengeluarkan NR-REE mengikut tatacara pengendalian piawai SOP ditetapkan dan kita jual dia untuk melihat harga dia," katanya.
Saarani berkata eksport yang dimulakan Januari lalu itu, perlu dilakukan memandangkan negara belum mempunyai kilang pemprosesan bahan tersebut.
Kerajaan negeri juga telah memohon kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) agar Perak diberikan moratorium dalam penjualan NR-REE.
Dengan memberi pengecualian itu pihak kementerian mempunyai keputusan dan peraturan untuk keseluruhan berkait NR-REE di seluruh negara.
Dalam hasil lawatan ke Nanning pihaknya telah melihat proses pemulihan kawasan galian NR-REE dan ia akan diaplikasikan.