fb fb fb fb fb

1.3 tan metrik dikutip pada Program Recycling Hunt 2023

 

ALOR SETAR, 22 Oktober- Sebannyak 1,300 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpulkan pada Program Recycling Hunt 2023 anjuran syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd dengan kerjasama Olive House, hari ini.

Program disertai 90 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil media Negeri Kedah dan Perlis termasuk RTM Kedah, warga kerja E-Idaman dan Olive House serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Program bermula dari Drive Thru Recycle Centre (DTRC) Peremba, Alor Setar dan tamat di Kampung Seberang Ramai, Perlis dengan peserta dibahagikan kepada 18 kumpulan dan melalui beberapa checkpoints untuk menjawab soalan-soalan yang disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, program ini sebagai platform bagi mengeratkan hubungan antara media di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata, media memainkan peranan dalam membantu mempromosikan inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh E-Idaman Sdn Bhd.

"Peranan media bukan sahaja mempromosikan aktiviti E-Idaman Sdn Bhd di Kedah dan Perlis tetapi seluruh negara. Setinggi penghargaan kepada kerjasama yang diberikan oleh pihak media kepada syarikat selama ini,"katanya.

Tambah beliau, aplikasi idamanXchange serta Drive Thru Recycle Centre yang dibangunkan E-Idaman Sdn Bhd turut mendapat sambutan menggalakkan oleh penduduk setempat hasil dari peranan media.

"Bukan sahaja media konvensional seperti akhbar, radio dan televisyen, malah maklumat kini mudah diperolehi secara dalam talian apabila media konvensional menerap pendekatan milenial menerusi online news portal, selain menggunakan platform media sosial yang ada untuk membawa berita dan maklumat kepada masyarakat," katanya.

Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh menghubungi talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 yang beroperasi 7 hari seminggu bermula pukul 8.00 pagi hingga 8 malam.


(Ketua Bahagian Rancangan RTM, Syahida Shabudin; Wartawan, Fakhrul Razi Ismail;
Penyampai, Siti Zaida Osman; Jurukamera, Ahmad Rosli Aziz; dan Pembantu Jurukamera, Azmi Sudin
 berjaya mengumpul sebanyak 105.45 kilogram atau 8% daripada keseluruhan barangan
kitar semula yang dikumpul pada Program Recycling Hunt 2023)

Media Baharu