fb fb fb fb fb

Depani cabaran global dan kekal hubungan baik serantau

(MEDIA ISTANA ARAU)

PHNOM PENH, 22 Oktober- Sebagai rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja berada diingatkan sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran global dan mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan negara-negara di rantau ini, bahkan dengan negara-negara lain yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan dunia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat Malaysia di Kemboja diseru untuk terus memainkan peranan yang positif, bagi sama-sama membantu negara kita memacu pembangunan yang mampan pada masa hadapan.

Sebagai warganegara Malaysia yang telah mengecapi kemodenan dan kemudahan asas lebih awal berbanding penduduk di Kemboja, usaha yang mulia dan terpuji semua merupakan aset dan akan sentiasa menjadi kebangaan negara.

"Selain mengejar matlamat hidup dan mencapai aspirasi negara, masyarakat perlu sentiasa memberi penekanan yang lebih kepada aspek kesihatan fizikal dan mental yang memberikan impak pada diri dan seluruh sistem kehidupan.

"Jika perkara ini dititikberatkan, kita akan menjadi cerdas dan cergas serta lebih berdaya saing," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah kepada rakyat Malaysia di Kemboja dalam satu Majlis Santapan Malam ‘Liqa Mawaddah’ yang berlangsung di Dewan Besar, Rumah Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.

Pertemuan ini yang melibatkan sebahagian kecil daripada 6,000 masyarakat Malaysia di Kemboja yang membuka wadah untuk lebih memahami peranan dan sumbangan diaspora Malaysia di bumi Kemboja ini, selain saling mengenali antara satu sama lain.


(MEDIA ISTANA ARAU)

Media Baharu