PETALING JAYA, 8 Mac- Taktik seorang penganggur berusia 25 tahun, menyamar sebagai pekerja e-hailing ketika meragut terbongkar selepas ditahan di kawasan perumahan di Jalan Gasing, 22 Februari lalu.
Tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan telefon bimbit miliknya diragut ketika berjalan kaki melintas jalan di Seksyen 13, pada 21 Februari lalu.
(Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid)
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan telah menjual telefon bimbit milik mangsa kepada rakan sepenjenayah yang masih bebas.
"Bertindak atas maklumat tersebut, pada 22 Februari , pada pukul 9.00 malam, tangkapan susulan telah dibuat ke atas seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun di kampung pantai dalam, kuala lumpur serta telah merampas satu unit telefon bimbit jenama Iphone yang disyaki kepunyaan mangsa. Kes disiasat dibawah seksyen 392 kanun keseksaan. Semakan rekod lampau terhadap kedua-dua suspek mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan samun dan curi kenderaan manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,"katanya dalam sidang media hari ini.
Hasil tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan dua kes ragut jalanan di sekitar daerah Petaling Jaya.
Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin berkata demikian pada sidang media tangkapan jenayah di IPD Petaling Jaya.