fb fb fb fb fb

Penyiar dan pengendali stesen radio perlu tingkat kreativiti - Annuar Musa



KUALA LUMPUR, 13 Februari- Profesionalisme kewartawanan radio perlu dikekalkan bagi memastikan keyakinan pendengar terhadap mutu dan kredibiliti radio terus berperanan penting.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, sambutan Hari Radio Sedunia yang bertemakan 'Radio dan Keyakinan' turut diperincikan kepada tiga sub tema iaitu kebolehpercayaan dalam kewartawanan radio, kebolehpercayaan dan kebolehcapaian serta daya maju stesen radio.

Annuar berkata, selain radio turut bersaing dengan kaedah penyebaran berita yang lain, medium berkenaan juga perlu mempunyai tahap kedayahidupan dan boleh dioperasikan sepanjang masa. 

"Walaupun teknologi pada masa kini mengalami perubahan, radio masih kekal mampan kerana selain penglihatan, sentuhan dan deria rasa, pancaindera pendengaran mempunyai peranan sangat penting sebagai medium komunikasi, katanya.

Pada masa sama, katanya, penyiar dan pengendali stesen radio perlu meningkatkan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan kerana medium komunikasi itu mempunyai peranan besar dalam kemajuan negara bangsa.

Katanya, tahap kebolehcapaian radio perlu terus digarap agar kekal relevan, disampaikan secara kreatif dengan penyampaian maklumat yang lebih efektif.

"Kita ingin lihat kreativiti para penyiar bagaimana mengadunkan bahan berita dengan muzik serta ilmu-ilmu asas seperti ilmu agama dan ilmu formal di sekolah juga boleh disiapkan keupayaannya menggunakan suara dan teknologi radio.

“Saya sangat berharap daya kreativiti para penyiar, pengendali stesen radio, penggiat dan pencinta komunikasi melalui radio agar sama-sama membangunkan perkhidmatan radio di Malaysia yang terbaik dan bermutu tinggi,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Radio Sedunia secara maya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1

Sambutan Hari Radio Sedunia mula dianjurkan atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan radio.

Media Baharu