fb fb fb fb fb

Penyertaan guru dalam aktiviti luar sekolah akan diselaras

Foto fail

MERLIMAU, 14 Julai -Menyelaras dan menghadkan penglibatan guru dalam aktiviti luar sekolah yang tidak berkaitan secara langsung dengan murid, antara sebahagian usaha mengurangkan beban tugas guru.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memastikan guru-guru dapat memfokuskan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta membentuk sahsiah diri murid.

"Melindungi masa instruksional agar guru-guru dapat memberi fokus sepenuhnya kepada tugas utama mereka, iaitu pendidikan anak-anak. Pendidikan ini merangkumi aspek akademik serta pembangunan sahsiah melalui pelbagai aktiviti yang membentuk jati diri murid.

"Saya juga telah mengarahkan agar penyelarasan dibuat di peringkat bahagian berkaitan penglibatan guru dan pengetua dalam aktiviti luar sekolah. Ini penting kerana jika tiada penyelarasan antara bahagian, jabatan pendidikan negeri, dan pejabat pendidikan daerah, kita bimbang terlalu ramai guru terlibat dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan kehadiran mereka di sekolah," katanya kepada pemberita dalam program Mahrajan Al-Quran Sekolah-sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan, di sini.
 
Katanya, pengetua dan guru besar turut diberi kebenaran untuk membatalkan aktiviti luar sekolah yang tidak memberi impak kepada pelajar.
 

 
 

TETITIA YUSOFF