fb fb fb fb fb

Penyelidik USM, JWN temui arca dan batu bersurat di tapak arkeologi Bukit Choras

YAN, 22 September - Pasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui dua arca hampir lengkap dan batu bersurat tulisan Pallava selain serpihan tembikar tanah yang dianggar berusia kira-kira 1,200 tahun di tapak arkeologi Bukit Choras, di sini.

Penemuan oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM yang turut bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) itu adalah ketika melakukan kerja-kerja ekskavasi dan penyelidikan di puncak bukit itu antara 28 Ogos hingga 12 September lepas.

Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata terdapat keunikan mengenai penemuan baharu struktur candi utama itu kerana ianya lebih besar dari segi ketinggian tapak Candi Lembah Bujang, di Merbok.

(Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof)

"Kita harap dengan penemuan ini kita dapat merangka semula satu proses tamadun negeri Kedah dan kita juga akan merangka semula tapak- tapak yang boleh kita angkat menjadi satu produk arkeotourisme pada masa akan datang," katanya, di sini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata Candi Bukit Choras mempunyai keistimewaan kerana satu-satunya tapak terletak di luar kawasan Sungai Merbok dan Sungai Muda.
 
"Kita juga menemui dua arca bersaiz manusia yang diperbuat daripada bahan 'stacco' iaitu campuran kapur dan bahan lain. Penemuan stacco masih belum dilaporkan di Lembah Bujang dan kita cuma ada di Sumatera dan Jawa Barat sahaja dan kajian awal menunjukkan ada persamaan dari segi senibina di Jawa Barat dan Sumatera," katanya.
 
Artifak –artifak yang dijumpai dibawa ke makmal PPAG USM, untuk kerja-kerja pembersihan, konservasi dan penyelidikan lanjut.

Media Baharu