fb fb fb fb fb

1,385 bubu naga dirampas di Pulau Pinang

(1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 dirampas di sekitar perairan negeri ini)

BAYAN LEPAS, 22 September- Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyita 1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 di sekitar perairan negeri ini sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, jumlah itu termasuk 210 unit bubu naga bernilai RM31,500 yang dirampas pada minggu ketiga September di perairan Pulau Rimau dan jeti nelayan di Seberang Perai Selatan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius tindakan berkenaan kerana ia menyebabkan kerugian sumber memandangkan bubu tersebut turut memerangkap anak-anak ikan.

"Ketika rampasan bubu ini dibuat, kita mendapati anak-anak ikan yang bernilai tinggi seperti ikan jenahak, ikan merah terperangkap di dalamnya dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan kerugian kepada nelayan serta memusnahkan sumber, benih serta anak-anak ikan," katanya.


(Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin)

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dijalankan memandangkan pihak yang memasang bubu naga terbabit membiarkan sebelum mengambilnya beberapa hari selepas itu.

Sitaan itu dibuat mengikut Seksyen 11(3)(c) kerana menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah.

Media Baharu