fb fb fb fb fb

Mufti Wilayah tegur ahli parlimen perlu profesional elak berkata kesat

KUALA LUMPUR, 22 September - Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah menegur tindakan segelintir ahli parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang agar perlu bersikap profesional dan menjaga akhlak ketika berbahas dalam parlimen.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin, katanya kemuliaan dan keharmonian parlimen perlu dijaga kerana ia merupakan tempat tertinggi untuk berbahas isu-isu berkaitan rakyat dan negara.

"Lebih-lebih lagi ia diisi oleh individu-individu yang diamanahkan rakyat untuk berbincang dan berbahas soal rakyat dan memastikan perjalanan serta kestabilan negara dalam keadaan yang baik," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, dalam perbahasan sudah tentu terdapat perbezaan pandangan dalam membahaskan sesuatu isu berbangkit.

Bagaimanapun, katanya penggunaan kata-kata kesat yang melibatkan maruah ahli-ahli lain adalah wajib dielakkan kerana memberi kesan kepada individu-individu yang terlibat termasuk kedudukan institusi parlimen yang mulia dan tinggi.

"Perbahasan perlu fokus kepada isu yang hendak dibahaskan serta tidak meleret-leret kepada isu yang tidak berkaitan dan akhirnya menghabiskan masa perbahasan yang ditetapkan dengan melayan isu-isu remeh yang dibangkitkan serta kata-kata sindiran yang dilontarkan.

"Setiap ahli samada dari pihak kerajaan atau pembangkang perlu lebih profesional dan beretika dalam berbahas mahupun mengkritik

"Sebagai ahli parlimen yang dikategorikan sebagai golongan minda kelas pertama, sewajarnya tidak berbahas dan berhujah mengikut keinginan hawa nafsu bagi mencapai kepentingan diri atau kumpulan tertentu," jelas beliau.


(Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah/FOTO Pejabat Mufti)

Tambah Luqman, sebagaimana diketahui umum perbahasan dalam parlimen adalah bagi menentukan hala tuju negara demi kesejahteraan rakyat.

"Parlimen satu medan yang mulia kerana ia adalah tempat berlakunya ‘syura’ yang digalakkan dalam Islam. Dengan kedudukan yang begitu tinggi dan mulia itu maka parlimen perlu diisi dengan ahli-ahli yang berwibawa dan berkelayakan dan menjadi contoh kepada rakyat yang sentiasa memerhati tingkah laku ahli-ahlinya," tegurnya lagi.

Oleh itu, Luqman berkata perbahasan dalam parlimen perlu dilaksanakan dengan baik dan profesional selari dengan etika yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Peraturan-Peraturan Berbahas 36 (4) dan 36 (6) menyatakan bahawa menjadi suatu kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan, biadap dan seumpamanya. Kemudian, seseorang ahli juga dilarang mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli-ahli yang lain.

Semalam, tular warganet mengulas isu kekecohan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin melontarkan kata-kata kesat berbaur tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia selepas tindakan Radzi tidak berpuas hati terhadap jawapan balas Perdana Menteri mengenai pengguguran kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, pengguna media sosial mendesak agar bekas menteri itu didakwa sebagai melakukan qazaf di mahkamah syariah.

Media Baharu