KUALA LUMPUR, 27 Mac– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyelesaian isu tapak Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah bukanlah soal kemenangan atau keangkuhan, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan, kekuatan, dan kemuliaan Islam.
Menurutnya, kejayaan rundingan itu menunjukkan nilai Islam yang sebenar, iaitu adil, penyayang dan penuh ehsan, bukan bersifat bengis atau membenci.
"Bagi saya, ini adalah falah (kejayaan) sebenar. Kejayaan itu hadir apabila kita mampu menjadi contoh yang baik – Islam itu peribadinya baik, penuh ehsan, penyayang, dan adil.
"Kita tidak bertindak dengan kebencian atau kekerasan. Akhirnya, masjid dapat didirikan, tanah diwakafkan dan kuil dipindahkan melalui rundingan yang baik. Ini kejayaan yang telah kita capai," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kaedah penyelesaian dan perundingan yang harmoni dalam menangani isu sensitif bukan tanda kelemahan, sebaliknya bukti kesepakatan pelbagai pihak termasuk wakil agama lain.
Sementara itu, Masjid MADANI yang bakal dibangunkan di Jalan Masjid India bukan sekadar rumah ibadah, tetapi juga pusat komuniti yang menghubungkan umat Islam serta masyarakat setempat di ibu kota.
Datuk Seri Anwar berkata, masjid empat tingkat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan, dewan persidangan serta ruang seni dan budaya bagi memperkenalkan Islam kepada umum.
"Masjid ini bukan sekadar mercu tanda di tengah kota, tetapi simbol pembangunan yang berakar pada akidah Islam, menekankan nilai dan akhlak yang baik, serta menghimpunkan umat Islam dalam semangat kasih sayang sesama manusia.
"Anak India, Hindu, atau anak Cina Buddha yang miskin juga kita anggap sebagai anak-anak kita, itulah keindahan fahaman Islam yang kita mahu tonjolkan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI di Kuala Lumpur.