
IPOH, 1 Ogos – Agenda perumahan berkualiti dan pembangunan bandar mampan yang diangkat Malaysia bertujuan membentuk komuniti lebih sejahtera.
- Pembangunan tidak hanya diukur dari infrastruktur fizikal; mesti memasukkan aspek kediaman berkualiti, inklusi sosial dan kebajikan penduduk.
- Kediaman harus mampu milik dan cekap tenaga, dengan kos penyelenggaraan serta penggunaan tenaga kekal berpatutan untuk kestabilan jangka panjang.
- Malaysia utamakan perumahan cekap tenaga responsif iklim, infrastruktur bandar mampan dan kerjasama serantau melalui persidangan ASEAN-China.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pembangunan sesebuah negara tidak lagi boleh diukur berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira penyediaan kediaman berkualiti, bandar inklusif serta kesejahteraan rakyat.
“Kediaman bukan sekadar perlu mampu milik, malah kos penyelenggaraan serta penggunaan tenaga juga perlu kekal berpatutan.
“Justeru, pembangunan bandar masa hadapan perlu mengimbangi aspek kemampanan, kecekapan tenaga serta keupayaan menghadapi cabaran perubahan iklim,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pembinaan dan Perumahan peringkat Menteri ASEAN-China 2026 (ACMROCH 2026) di sini.
Malaysia turut menggariskan empat keutamaan utama termasuk memperluas perumahan cekap tenaga dan responsif terhadap iklim, memperkukuh akses kepada kediaman berkualiti, memperkasa infrastruktur bandar mampan serta membina komuniti yang lebih inklusif dan berdaya huni.
Persidangan kali ini menghimpunkan menteri, ketua delegasi serta wakil negara ASEAN dan China bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam merangka pembangunan bandar yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.