fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi RON95, penangguhan kenaikan tol manfaatkan M40

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di Putrajaya/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Julai - Pemberian subsidi petrol RON95 dan kadar tol kekal di 10 lebuh raya utama negara tahun ini, memberi manfaat kepada kumpulan M40. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut dibuat mengambil kira keperluan memperluas manfaat kepada golongan M40. 

Beliau berpandangan inisiatif itu wajar setelah tumpuan sebelum ini diberikan kepada B40 dan miskin tegar.

Jelasnya, keputusan itu turut mengambil kira penggunaan kenderaan oleh kumpulan ini berbanding B40.

"Sebab itu saya kata komunikasi kita perlu lebih berkesan. Jika kita tengok petrol RON95, RM1.99 ini dan beberapa langkah lain. Umpamanya golongan M40 dan B40, kebanyakan menggunakan motorsikal, minyaknya kecil. Kita mula bukan sahaja daripada B40 tetapi dengan miskin tegar.

"Selesai bab B40, sekarang naik M40. Sebab itu saya kata sabar dan RON95 dan tol itu memberi manfaat kepada golongan M40 dan ke atas," katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini. 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI