PUTRAJAYA, 24 Julai - Inisiatif pemberian bantuan tunai sekali beri (one-off) sebanyak RM100 kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas tidak seharusnya diremehkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemberian tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana inisiatif itu satu langkah tambahan dilaksana kerajaan bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, setiap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan adalah berdasarkan kemampuan kewangan negara dan keutamaan rakyat.
"Jadi RM100 kalau keluarga termiskin, ada 2 anak 18 ke atas, suami isteri dah RM400, tambahan daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekarang Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Itu tak kecil.
"Itu yang kita kata, selain SARA, STR, saya takde masalah itu tetapi jangan remehkan kerana itu upaya kita tambah daripada peruntukan sedia ada," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di sini.
Datuk Seri Anwar turut menempelak segelintir pihak pembangkang yang mempolitikkan isu pemberian bantuan ini. Sebaliknya, menyeru agar bersama mendukung langkah pemulihan ekonomi demi masa depan negara.