fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya akibatkan kenaikan harga barang

Datuk Dr Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin menyifatkan penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan.

Perkara itu disebabkan pengusaha sektor logistik menerima subsidi diesel dan masih membayar bahan bakar itu pada harga RM2.15 seliter.

"Harga barang tidak sepatutnya naik. Di Mydin sendiri kita minta fleet card pasal kita juga (terlibat dalam sektor) pengangkutan (atau logistik). Barang sampai di gudang di Shah Alam, kita pakai lori diesel juga hantar barang hari-hari tapi kita ada fleet card. Kita (masih) bayar (diesel pada harga) RM2.15 (seliter).

"Ramai tanya (harga) barang bila nak naik, saya kata kenapa nak naik sebab kos pengangkutan adalah sama. Jadi kadang-kadang peniaga ini ada yang ambil kesempatan (menaikkan harga barang) bila harga diesel naik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mydin Mart Pantai Dalam di sini.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menetapkan bahawa peniaga tidak boleh menaikkan harga barang sesuka hati serta perlu memberikan justifikasi sebelum berbuat demikian.

"Sekarang ini, sebetulnya nak naikkan harga agak susah kerana KPDN ni naik harga 20 sen pun dia minta borang, dia tanya kenapa naik harga, dia kena periksa. Nak naik harga, borang tebal kena hantar kat dia (KPDN)," katanya.

Pada majlis itu turut disampaikan sumbangan Aidiladha oleh Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil kepada penduduk di kawasan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI