GEORGE TOWN, 15 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi radio MutiaraFM menganjurkan Pentas Jaguh Boria sebagai usaha memartabatkan seni persembahan kesenian tradisional yang terkenal dalam kalangan orang Melayu Pulau Pinang.
Lima kumpulan akan membuat persembahan bertemakan Revolusi Rancak Boria sekali gus dapat menjaga seni warisan negeri yang terkenal dengan jolokan 'pulau mutiara' itu.
Penerbit Pentas Jaguh Boria Mohd Faruk Kader Mydin berkata, persembahan itu akan dimulakan dengan kumpulan veteran bagi menonjolkan revolusi boria.
"Revolusi rancak boria dan revolusi ini adalah perubahan daripada kita dapat saksikan setiap persembahan yang ditampilkan oleh lima kumpulan boria.
"....kita nampakkan persembahan-persembahan mereka itu ada perubahan meliputi persembahan, nyanyian dan tarian. Itu adalah sebab kita memilih tema revolusi rancak boria," katanya selepas selesai sesi rakaman Pentas Jaguh Boria yang akan disiarkan pada 22 Jun ini, pukul 9.00 malam di TV2.
Datuk Suhaimi Sulaiman
Sesi rakaman berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan beliau menyifatkan penganjuran itu sangat bagus dalam menyampaikan mesej-mesej serta penceritaan isu-isu semasa melalui setiap persembahan.
"Apa yang ditunjukkan hari ini membuktikan boria itu bertambah hebat, maksudnya diterima. Buktinya pelajar sekolah rendah juga menunjukkan minat.
"...maksudnya mesej itu sampai kepada mereka dan mereka. Ia juga boleh memberik keyakinan kepada pelajar-pelajar ini untuk ke depan dan berani," katanya.
Program rakaman langsung itu juga merupakan sebahagian usaha bersepadu RTM dalam mengekalkan kelestarian seni warisan boria di Pulau Pinang.
Program turut diselitkan dengan persembahan barisan artis dan pelawak tempatan terkenal seperti Usop Mentor, Akmar Natasha, Nana Mahazan, Fendi Muhammad, Abu Mamu dan Chik Pak Man Telo.
Lima kumpulan yang terlibat dengan Pentas Jaguh Boria ialah Boria Omara; kumpulan boria Gabungan Anak Pulau Pinang Kolej Vokasional (GAPP KV); Boria Putera Wawasan; Wilis Cempaka dan Armada Mutiara.