fb fb fb fb fb

Penyaluran bantuan penjawat awam, CUEPACS ucap terima kasih

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000, memberi kelegaan kepada penjawat awam untuk persediaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak dan persiapan menjelang Ramadan.

Tambahan pula, wang berkenaan turut digunakan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri pada bulan seterusnya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat dalam satu kenyataan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas penyaluran bantuan tersebut, sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan.

Bagaimanapun, seluruh penjawat awam disaran berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan yang sepatutnya.

"CUEPACS juga menyeru semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun untuk turut sama memberikan bayaran insentif awal seumpamanya sebagaimana yang dipanjangkan melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini."

"Pemberian insentif tersebut boleh dijadikan sebagai inisiatif kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun menjaga kebajikan warga pekerja serta harus dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun negeri seperti mana yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, CUEPACS memohon kerajaan agar menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam.

Gesaan itu adalah kerana ramai dalam kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa.

"Merujuk kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa laporan akhir kajian SSPA dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan tidak mahu dilengahkan pelaksanaannya, CUEPACS berharap komitmen itu dapat ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM