fb fb fb fb fb

Penyakit misteri serang durian musang king, pekebun rugi lebih RM1 juta

TANAH MERAH, 25 Jun - Hampir 100 pengusaha durian Musang King di Tanah Merah dan Jeli kehilangan hasil lebih RM1 juta selepas buah rosak, akibat penyakit misteri.

Ekoran penyakit misteri itu, ia turut mengganggu kualiti dan rasa raja buah itu.

Tinjauan ke daerah terbabit mendapati kebanyakan pengusaha mendakwa satu pokok yang sebelum ini boleh menghasilkan hampir 500 biji durian untuk satu musim, kini hanya menghasilkan beberapa biji buah yang elok untuk dijual.

(Che Mohd Zaid Che Hasan)

"Akibat serangan penyakit misteri ini, durian mudah rosak, buah gugur sebelum tiba masanya, selain kulit kehitaman serta berulat. Pemborong durian yang menjadi pelanggan tetap di kebun ini juga sudah memilih pekebun lain kerana saya tidak dapat membekalkan kepada mereka Musang King berkualiti tinggi," kata Che Mohd Zaid Che Hasan.

Tambah Zaid, Selain Musang King, durian lain seperti D24, IOI, Tok Litok dan durian kampung juga turut dijangkiti penyakit misteri berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat pengusaha durian yang terpaksa menjual Musang King yang siap dibungkus, berbanding menjualnya secara biji kerana buah berulat.

(Ibrahim Abdullah)

"Buah siap peket dijual pada harga lebih murah berbanding dijual biji sekitar RM35 sehingga RM40 sekilogram. Dengan cara ini, kami boleh memilih sendiri isi yang elok, sebelum dijual. Saya sangat berharap jika ada dapat membantu kami dengan penyakit yang menyerang durian kami supaya masalah sama tidak berulang," kata Ibrahim Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang kawasan Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus berharap agensi kerajaan dapat turun padang membantu menyelesaikan masalah tersebut sekaligus dapat mencari jalan penyelesaian terbaik kepada pengusaha durian.

Media Baharu