fb fb fb fb fb

Sebar maklumat pelancongan, RTM alu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Negeri

JELI, 25 Jun- Kepelbagaian seni, budaya warisan tradisi masyarakat dan keindahan destinasi pelancongan, selain keunikan makanan di seluruh negara mampu dijadikan pemangkin kepada cabang penjanaan sumber ekonomi negeri.

Justeru itu, bagi memastikan maklumat tersebut dapat disebar luas, stesen radio RTM di negeri-negeri disaran untuk memafaatkan pelbagai platform yang ada untuk turut sama membantu.

Ini termasuk membentuk jalinan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri bagi menganjurkan pelbagai program melalui penglibatan komuniti di lokasi yang dikenal pasti supaya produk tempatan sedia ada yang dihasilkan dapat diketengahkan bagi menarik minat umum.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, berkata pihaknya sentiasa terbuka dan amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang ingin dilaksanakan.


(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud)

"Setiap negeri mempunyai ada keunikan masing-masing. Jadi apabila kita bergerak ke negeri-negeri yang lain, disamping kita menonjol industri pelancongan negeri tersebut, menunjukkan lokasi-lokasi menarik yang boleh dikunjungi oleh wargenegara kita sendiri, juga dari luar", katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program "Mari Derek Jeli” anjuran Kelantan fm di Kampung Kubur Datu, Jeli.

"Pada masa yang sama, kita boleh mewar-warkan maklumat makanan yang tidak ada di tempat lain".

Program berbentuk komuniti itu berlangsung selama dua hari sejak semalam dan diisi dengan pelbagai program menarik.

Antaranya, konvoi motosikal berkuasa tinggi, rakaman program siaran di Kelantan fm, sesi ziarah menerusi program 'Kelantan fm Ambil Peduli', selain penganjuran Program Memerai Ikan yang menjadi amalan tradisi penduduk kampung saban tahun.

Selain itu, turut diadakan Lintas Langsung siaran Selamat Pagi Malaysia (SPM).

Mengulas lanjut, Datuk Che Roslan percaya keunikan warisan budaya, produk makanan serta amalan tradisi yang ada di setiap negeri mampu menarik minat masyarakat sekali gus merancakkan sektor pelancongan domestik.

Pada masa sama, beliau melihat penganjuran program seumpama itu juga dapat menonjolkan semangat kekitaan selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri.

Media Baharu