fb fb fb fb fb

Sistem EMR di fasiliti kesihatan seluruh negara menjelang 2029

Pelaksanaan EMR berfasa bermula tahun depan / Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 November - Semua 150 hospital awam serta lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara, disasar dilengkapi dengan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjelang 2029.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pelaksanaan EMR yang komprehensif bakal dilaksana secara berfasa bermula tahun depan melibatkan 16 hospital, diikuti 25 hospital pada 2027, 46 hospital (2028) serta 49 hospital pada 2029.

"Pelaksanaan EMR merangkumi dua komponen utama iaitu Cloud-based Clinical Management System (CCMS) untuk klinik kesihatan dan Hospital Information System (HIS) untuk hospital ke arah konsep "Satu Rakyat, Satu Rekod."

"Setakat ini, 160 klinik kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi sistem CCMS, dan angka berkenaan, disasar meningkat kepada 200 klinik sebelum akhir tahun," katanya selepas menghadiri program Jelajah Wira Madani, bersempena Sambutan Jubli Perak Hospital Putrajaya di Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly lagi, menjelang 2029 lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer termasuk klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti serta klinik desa dijangka beroperasi menggunakan sistem berkenaan.

"Klinik kesihatan merupakan tulang belakang perkhidmatan penjagaan primer negara, dan sistem ini penting untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di peringkat komuniti," katanya.

FAUZIAH ABD RAHMAN