LANGKAWI, 18 Mei- Orang ramai, khususnya jemaah haji yang berlepas dari Langkawi ke Kuala Lumpur, dinasihatkan supaya keluar lebih awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) bagi mengelakkan kelewatan dan risiko terlepas penerbangan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shariman Ashari dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa laluan utama berhampiran lokasi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) akan diubah kepada laluan sehala bermula 20 Mei ini.
Antara jalan yang terlibat ialah Jalan LIMA, yang terletak berhadapan lapangan terbang dan Dewan LIMA, serta Jalan Teluk Baru dari simpang Resorts World ke simpang Kuala Temonyong. Laluan sehala itu akan berkuat kuasa setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 6 petang sepanjang penganjuran LIMA’25.
Menurut ACP Shariman, seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan dalam operasi keselamatan dan kawalan lalu lintas sepanjang pameran berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.
"Penugasan meliputi dua lokasi utama iaitu di Dewan Pameran MIEC dan kawasan sekitar Resorts World Langkawi.
"Selain itu, fokus turut diberikan kepada lokasi penginapan tetamu kenamaan, majlis-majlis rasmi, kawalan radar, rondaan pencegahan jenayah, pemantauan lokasi tumpuan awam, kawalan trafik serta pasukan tindak balas krisis dan bencana," jelasnya.
Dalam masa sama, ACP Shariman turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati semasa membuat tempahan perkhidmatan seperti kereta sewa, penginapan, dan pakej pelancongan bagi mengelakkan penipuan oleh ejen tidak sah atau entiti palsu yang disasarkan kepada pengunjung LIMA’25.