fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut dilanggar bas

FOTO POLIS

KUALA TERENGGANU, 16 November- Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kuala Ibai, awal pagi tadi.

Nahas berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi membabitkan sebuah bas dan motosikal di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa Muhammad Ameer Zikri, 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati, bas berkenaan yang membawa 25 penumpang dari arah Jerantut ke Kuala Terengganu meneruskan perjalanan sebaik sahaja lampu isyarat berwarna hijau di lokasi kejadian sebelum motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba masuk dari arah kiri ke laluan bas secara mengejut.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu bas berusia 52 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan motosikal berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Susulan kemalangan itu, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Trainee