fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut, pembonceng parah di Kuching

FOTO PDRM SARAWAK

KUCHING, 15 September- Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng cedera selepas motosikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar besi penghadang di Jambatan Jalan Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11.45 malam selepas motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan jambatan.

"Kedua-dua mangsa dipercayai warganegara asing tanpa pengenalan diri. Penunggang disahkan meninggal dunia pada pukul 12.05 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala pembonceng dikejarkan ke Unit Kecemasan HUS untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Charlie Aloysius di 014-8682068, BSPTD Kuching di 082-259900 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SITI AISHAH BINTI MD ISA