fb fb fb fb fb

Dua lagi daerah di Sabah dilanda banjir, tiga lagi PPS dibuka

Foto Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 15 September - Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Sabah berikutan banjir di negeri itu, namun bilangan penduduk terjejas yang ditempatkan di ketiga-tiga PPS itu belum dimaklumkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut Ibrahim Terki memaklumkan, pengisytiharan banjir dibuat berdasarkan maklumat dan laporan di lapangan yang diterima jawatankuasa itu.

Setakat ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di daerah itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan dan Dewan Masyarakat Bongawan.

Pengaktifan PPS dibuat selepas pemeriksaan kawasan dan rumah penduduk terjejas bencana tidak selamat untuk didiami.

Sementara itu, Pengerusi JPBD Papar, Muhammad Mohd Ali mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan banjir kira-kira pukul 10.00 pagi.

Setakat ini, satu PPS diaktifkan di daerah itu iaitu PPS Dewan Masyarakat Papar.

Sementara itu berdasarkan infografik Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Jumlah penduduk ditempatkan di PPS Beaufort dan Penampang semakin berkurangan.

Setakat 8.00 pagi tadi, seramai 356 penduduk daripada 102 keluarga berteduh di tiga PPS.

Dua PPS masih dibuka di Penampang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Kolopis dan Dewan Huguan Siou. Manakala, di Beaufort penduduk terjejas ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan pedalaman Sabah melibatkan Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan; serta di Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI