fb fb fb fb fb

Ziarah Kasih: Enam keluarga pesakit terlantar di Chuping disantuni

FOTO RTM

PADANG BESAR, 15 September- Enam keluarga pesakit terlantar di sekitar Chuping disantuni semalam menerusi Program Ziarah Kasih dengan penyerahan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, program itu dilaksanakan secara turun padang dengan mendekati rumah setiap keluarga supaya sumbangan dapat disampaikan secara terus, selain menjadi ruang mendapatkan maklumat berkaitan keadaan terkini mereka.

Sejak dilaksanakan pada 2023, lebih 600 keluarga dalam kawasan Parlimen Padang Besar telah disantuni menerusi program tersebut.

Selain memberi tumpuan kepada pesakit terlantar, Ziarah Kasih turut menyantuni warga emas yang uzur, ahli keluarga terlibat kemalangan, mangsa bencana, orang kurang upaya (OKU), asnaf serta pelajar cemerlang.

Menurut Ruzaini, pelaksanaan program yang dijalankan secara berkala itu bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat dengan pemimpin setempat, malah memudahkan usaha menyalurkan bantuan.

Pihak UMNO Bahagian Padang Besar turut bekerjasama rapat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan mereka yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA