MIRI, 28 Disember - Seorang penunggang basikal lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 45 hingga 50 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Miri–Pujut, berhampiran Simpang Pasaraya Boulevard, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.10 malam melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun dan sebuah basikal.
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda itu datang dari arah pusat bandar Miri menuju ke Permyjaya sebelum melanggar penunggang basikal yang keluar dari simpang Pasaraya Boulevard.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan," menurut kenyataan itu.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Amiruddin Hamdan di talian 018-9529957 atau 085-430479.
Waris atau ahli keluarga mangsa yang kehilangan anggota keluarga juga diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi tujuan pengecaman dan tindakan lanjut.