LANGKAWI, 28 Disember - Cabang seni dilihat sebagai salah satu platform dalam mempromosikan Langkawi dan Malaysia, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pulau peranginan itu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan seni bertaraf antarabangsa.
Usaha Balai Seni Negara menganjurkan pelbagai pameran seni bertaraf antarabangsa sejajar dengan aspirasi menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan seni yang bukan sahaja menampilkan keindahan karya seni, tetapi juga memperkukuh budaya, identiti, dan khazanah seni warisan bersama masyarakat tempatan.
"Selain mempamerkan karya seni, program sebegini juga memberi peluang untuk mempromosikan negara kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Program yang sama dijangka akan dianjurkan pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Langkawi International Marble Art Camp 2025 (LAIN MACAM 2025) di Balai Seni Negara, di sini malam tadi.
Program kali ini menampilkan 18 artis seni visual arca daripada lapan negara termasuk Malaysia. Antara negara yang menyertai ialah Thailand, Singapura, Indonesia, China, Jepun, India, Nepal, dan Jordan.
LAIN MACAM 2025 mengetengahkan karya seni menggunakan batu pualam atau batu marmar Langkawi yang berkualiti tinggi, sekali gus mempamerkan kreativiti global melalui medium tempatan.
Pameran berlangsung dari 19 hingga 28 Disember di Balai Seni Negara Langkawi itu memberikan peluang kepada pengunjung melihat secara dekat karya arca antarabangsa dan tempatan.
Program sebegini bukan sahaja memartabatkan seni visual negara, malah berperanan sebagai platform untuk memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan seni yang unik dan berkelas dunia, selari dengan visi Tahun Melawat Malaysia 2026.