fb fb fb fb fb

SARA bukan sekadar nilai, beri makna besar kepada rakyat

FOTO BERNAMA

KUCHING, 26 Disember - Meskipun bantuan hanya RM100 bagi setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi makna besar kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya dalam membantu perbelanjaan harian isi rumah.

Tinjauan RTM di Kuching, penerima menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan barangan dapur, selain menampung perbelanjaan keluarga.

Rose Anthony Taha yang bekerja di sektor swasta berkata, bantuan tersebut amat membantu dirinya yang berpendapatan rendah dalam mengurus perbelanjaan asas harian.

"Dapat membantu sedikit, boleh beli beras, dari duit gaji saya beli baju anak-anak. Kalau ada rezeki, boleh juga beli barang dapur. Gaji saya kecil, jadi inilah yang mampu dilakukan," katanya.

Empasa Anchia turut menyifatkan bantuan berkenaan sebagai satu inisiatif yang wajar diteruskan.

"Sumbangan SARA memang dapat membantu kami, walaupun tidak banyak, tetapi kami bersyukur kerana ada bantuan yang diberikan," katanya.

Bagi Muhammad Azim Murtadza pula, bantuan SARA membolehkannya menyediakan keperluan isi rumah untuk keluarga.

"Ia boleh membantu kami, contohnya membeli barang keperluan makanan dan makan bersama keluarga. Apa sahaja yang dapat membantu, walaupun sedikit, kami hargai.

"Kami berharap bantuan ini akan diteruskan, dan mungkin ditambah sedikit agar kami dapat membantu keluarga kami sebanyak yang mungkin," katanya.

SARA merupakan bantuan sekali beri dan antara inisiatif Kerajaan MADANI bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara secara adil dan saksama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI