fb fb fb fb fb

Penubuhan SEGiM, inisiatif holistik industri gig Malaysia

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Jemaah menteri disaran menimbang dan meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia utama yang memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi SEGiM.

Selain itu kerajaan terus komited memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang dengan lebih berdaya saing melalui kawal selia tersusun dan holistik.

"Sebagai industri yang sedang berkembang pesat, ekonomi gig memerlukan satu pendekatan pengawalseliaan yang bukan sahaja melindungi pekerja gig tetapi juga menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pengguna dan pihak berkepentingan lain.

"SEGiM akan berperanan dalam memastikan hak pemegang taruh terjamin melalui pemantauan standard perkhidmatan, penguatkuasaan dasar yang lebih telus, serta menggalakkan amalan industri yang lestari dan adil," menurut Ahmad Zahid.

Melalui mekanisme kawal selia lebih tersusun ekosistem ekonomi gig dijangka berkembang secara inklusif selain memberikan perlindungan wajar kepada sektor itu.

Pada masa sama ia dilihat dapat memastikan industri berkenaan terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

"Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa sektor ini dengan memperkenalkan dasar yang progresif dan berdaya tahan agar ekonomi gig di Malaysia bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi juga mampu memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat," tambahnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI