
KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Cadangan untuk menubuhkan Pusat Mediasi Malaysia (MMC) di bawah Jabatan Bantuan Guaman sedang dipertimbang sebagai langkah strategik untuk memperluas akses kepada bantuan guaman, terutamanya melalui kaedah penyelesaian pertikaian alternatif.
- Disokong oleh Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 sebagai asas perundangan.
- Mediasi sebagai pelengkap sistem keadilan, mengurangkan kos, masa dan konflik; juga boleh dilaksanakan secara dalam talian.
- Menyasar memperluas akses kepada golongan M40 yang tidak layak bantuan guaman namun terjejas kos mendapatkan khidmat peguam.
- Fokus pada pelantikan mediator berkelayakan, latihan berstruktur, dan penglibatan hakim bersara serta pegawai kerajaan berpengalaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan tersebut disokong oleh kerangka perundangan menerusi Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
Inisiatif itu dijangka menjadi asas penting dalam memperkukuh peranan mediasi sebagai pelengkap kepada sistem keadilan sedia ada, serta mengurangkan kebergantungan kepada litigasi yang kerap melibatkan kos tinggi, tempoh masa panjang, dan prosedur kompleks.
“Tidak semua rakyat mempunyai kemampuan untuk membawa kes ke mahkamah. Malah, tidak semua mampu mendapatkan khidmat nasihat peguam atau mengeluarkan surat tuntutan kerana kos yang tinggi.
Dari sudut bantuan guaman, tidak semua individu memenuhi kelayakan di bawah kategori yang ditetapkan,” jelas Datuk Seri Azalina dalam sidang media sempena Persidangan Persatuan Pendidikan Perundangan Komanwel (CLEA) – Lawyering 2030 di ibu negara.
Menurut Datuk Seri Azalina, pendekatan mediasi yang juga boleh dilaksana secara dalam talian secara asasnya menawarkan penyelesaian lebih cepat, fleksibel, dan kurang bersifat pertentangan, di samping turut memberi akses kepada golongan M40 yang menghadapi kekangan kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman.
“Bantuan guaman diberikan hanya kepada kategori tertentu, khususnya golongan B40. Walaubagaimanapun, terdapat golongan M40, termasuk usahawan muda berkelulusan tinggi, yang tidak memenuhi syarat kelayakan tersebut dan tidak berupaya menanggung kos mendapatkan khidmat peguam.
Oleh itu, penubuhan Pusat Mediasi Malaysia diharap dapat menyediakan alternatif penyelesaian pertikaian bagi mereka yang mempunyai isu undang-undang tetapi tidak dibawa ke mahkamah, khususnya bagi tuntutan tertentu, dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.”
Langkah itu selari dengan aspirasi mewujudkan sistem keadilan yang lebih inklusif dan mesra rakyat, selain memastikan penyelesaian pertikaian dapat dicapai secara praktikal dan berkesan dalam kehidupan seharian.
Sekiranya direalisasikan, MMC dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem penyelesaian pertikaian yang lebih terselaras dan mampan, sekaligus menyokong usaha memperkukuh akses kepada keadilan untuk semua lapisan masyarakat.
Datuk Seri Azalina menambah, maklumat lanjut mengenai cadangan tersebut akan diperincikan dalam pengumuman rasmi akan datang, dengan menekankan tiga keutamaan sebagai teras pembangunan MMC.
Antaranya termasuk usaha memperluas akses kepada perkhidmatan mediasi kepada golongan sasaran, memperkasa sumber manusia melalui pelantikan mediator berkelayakan, serta meningkatkan kualiti dan konsistensi proses mediasi melalui latihan berstruktur dan pembangunan kapasiti.
“Kerajaan bercadang mendapatkan persetujuan jemaah menteri supaya kementerian yang mempunyai saluran mediasi, termasuk Kementerian Perpaduan, Perumahan, dan Hal Ehwal Pengguna, dapat bersetuju dalam aspek latihan dan pendaftaran mediator.
Selain itu, hakim bersara dan bekas pegawai kerajaan yang berpengalaman boleh dilibatkan, diberikan latihan tambahan bagi menyalurkan kemahiran dan kepakaran sedia ada ke dalam sistem mediasi.
Ini memastikan proses mediasi dijalankan secara berkesan tanpa memerlukan kemahiran baru yang kompleks.