GUA MUSANG, 16 April- Pengguna jalan raya di daerah Gua Musang menanggung kerugian kira-kira RM150,000 akibat kemalangan melibatkan haiwan ternakan berkeliaran, khususnya lembu, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Penguasa Polis (SUPT) Sik Choon Foo, berkata kerugian tersebut direkodkan pada bulan Januari dan Februari, melibatkan sebanyak 25 kes kemalangan.
Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 50 kes kemalangan berkaitan haiwan ternakan telah direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Polis menasihatkan para penternak, khususnya yang membela lembu, supaya lebih bertanggungjawab dengan menambat atau mengurung haiwan ternakan mereka. Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 25 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan telah direkodkan, dengan anggaran kerugian mencecah RM150,000.
"Kebanyakan kejadian berlaku pada waktu malam apabila ternakan dibiarkan berkeliaran di atas jalan raya,” katanya.
Antara kawasan panas yang sering mencatat kemalangan melibatkan haiwan berkeliaran adalah di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Gua Musang-Jeli, Jalan Gua Musang-Lojing, Jalan Gua Musang-Aring dan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Ahmad Hamdan Ubaidah, berkata sepanjang tahun lalu pihaknya telah merekodkan 20 tangkapan haiwan rayau, membabitkan empat ekor kambing dan 16 lembu.
Tambahnya, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.