PUTRAJAYA, 16 April- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi Dana Antarabangsa Belia (IYF-KBS) tahun ini, sebagai inisiatif perintis untuk menggalakkan penglibatan anak muda dalam acara antarabangsa.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, dana tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan belia mewakili negara dalam simposium, forum dan dialog antarabangsa.
“Sebagai permulaan, dana sebanyak RM500,000 disediakan untuk tahun ini. Kita mahu melihat bagaimana projek perintis ini memberi manfaat kepada anak muda yang ingin mewakili negara di pentas antarabangsa. Diharapkan kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada belia lain,” katanya.
Dana tersebut terbuka kepada belia warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun yang merupakan ahli persatuan atau kelab berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Dana itu akan menampung perbelanjaan secara menyeluruh termasuk yuran penyertaan, tiket penerbangan pergi dan balik, elaun penginapan dan makan, insurans serta visa, berdasarkan kadar yang ditetapkan oleh kementerian.
Permohonan telah dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 1 Ogos 2025.