PUTRAJAYA, 16 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan terhadap akhbar Sin Chew Daily susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka depan akhbar bertarikh 15 April 2025.
Tindakan itu dibuat berpandukan dua perundangan utama iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Menerusi satu kenyataan, KDN memaklumkan turut memanggil pihak pengurusan Sin Chew Daily bagi memberi penjelasan lanjut serta telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab kepada penerbit terbabit.
"Kegagalan memaparkan simbol bulan sabit yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan disifatkan sebagai kecuaian serius yang boleh mencetuskan ketidakharmonian masyarakat berbilang kaum.
"Kementerian menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana penerbitan yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera negara atau menerbitkan kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Tindakan tegas akan diambil selepas siasatan dilengkapkan," menurut kenyataan KDN.