KUALA LUMPUR, 13 September – Pentas digital kini diiktiraf sebagai aset penting dalam memperkasa bidang seni dan bahasa, menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata dunia digital membuka peluang lebih besar kepada masyarakat untuk menikmati karya seni dan bahasa tanpa terhad kepada lokasi acara atau dewan semata-mata.
“Saya lihat pentas digital menjadi satu aset penting kepada bidang seni, khususnya dalam memperkasakan bahasa. Dunia digital membuka ruang luas untuk akses maklumat seni dan bahasa,” katanya.
Menurut Gobind, acara seni yang dahulunya hanya berlangsung dalam dewan, kini dapat diikuti masyarakat dari rumah atau di mana sahaja menerusi platform digital.
“Dengan memperkasakan pentas digital, kita mampu memberi dukungan lebih besar kepada penggiat seni dan mengangkat semangat bersama memartabatkan bahasa serta budaya negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, lebih 100 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK Tamil) disasarkan menyertai Pertandingan Teater Bahasa Melayu pada tahun hadapan.
Penyertaan itu sekali gus memperluas penglibatan murid dalam dunia seni persembahan serta meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Gobind berkata, pertandingan berkenaan wajar diperluas ke peringkat negeri sebelum dianjurkan secara nasional, agar lebih ramai pelajar berbakat dapat ditonjolkan di pentas kebangsaan.
Katanya, langkah itu selaras dengan hasrat memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di samping memupuk generasi muda yang berkeyakinan melalui seni.
Pertandingan anjuran Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menghimpunkan penyertaan 80 buah SJK Tamil, melibatkan lebih 800 pelajar dari seluruh negara.
Dalam keputusan akhir, SJK (T) Batu Anam, Johor muncul juara menerusi pementasan Suara Dari Hati, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan, trofi, wang tunai RM5,000 dan sijil.
Tempat kedua dimenangi SJK (T) Slim River, Perak dengan teater Buli, yang membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 dan sijil, manakala SJK (T) Jalan Lobak, Negeri Sembilan di tempat ketiga dengan pementasan Kisah Mahsuri membawa pulang trofi, wang tunai RM2,000 dan sijil.
Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik disandang oleh Stephen Samuel Ariokiasamy dari SJK (T) Slim River, Perak, manakala Umaiyal Balamurugan dari SJK (T) Nilai, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Pelakon Perempuan Terbaik.