PUTRAJAYA, 13 September – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan semua kerjasama atau sumbangan pihak luar kepada sekolah mesti mematuhi garis panduan ditetapkan.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, ia bagi menjaga keselamatan dan kelancaran proses penyaluran.
KPM menjelaskan perkara itu susulan susulan hantaran tular melibatkan seorang pempengaruh yang menaja pendingin hawa untuk sebuah sekolah di Putrajaya, baru-baru ini.
“Sekian lama, KPM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, yayasan dan orang perseorangan untuk tujuan penyelenggaraan institusi pendidikan.
“Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan mengikut garis panduan sedia ada bagi memastikan proses penyaluran sumbangan yang teratur,” jelas KPM, hari ini.
KPM juga menegaskan pihaknya mengambil tanggungjawab penuh memastikan sekolah berada dalam keadaan selesa.
Manakala pentadbir sekolah berperanan mengawasi persekitaran kondusif.
Berhubung isu sekolah berkenaan, KPM menjelaskan perkara itu kini di bawah tindakan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dengan peruntukan penyelenggaraan telah disediakan.
“KPM sentiasa berusaha menyediakan infrastruktur serta fasiliti terbaik demi manfaat murid, guru dan seluruh warga pendidikan,” menurut kenyataan itu.