Peniaga buah lemas di Air Terjun Belukar Bukit

Peniaga buah-buahan Muhammad Zahari Mohd Zain, 26 ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang

HULU TERENGGANU, 28 Mei – Seorang peniaga buah-buahan ditemukan lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dipercayai tenggelam ketika mandi bersama lima ahli keluarga selepas berkelah bersama kira-kira 20 ahli keluarga.
  • Orang awam yang berada berhampiran bertindak menyelamatkan mangsa, kemudian dibawa ke daratan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
  • Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia; mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Berang untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab dalam kenyataan memaklumkan, mangsa dipercayai tenggelam sebelum disedari ahli keluarga dan pengunjung yang berada di lokasi.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu kemudian menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 4.22 petang sebelum mengerahkan pasukan keselamatan ke lokasi tersebut.

“Bagaimanapun orang awam yang berada berhampiran bertindak menyelamatkan mangsa sebelum dibawa naik ke daratan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” menurut kenyataan itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Berang pada pukul 5.49 petang.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Berang menggunakan kenderaan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pukul 4.00 petang itu, mangsa Muhammad Zahari Mohd Zain, 26 tahun, dari Kampung Kelulut, Marang dikatakan berkelah bersama 20 ahli keluarga sebelum turun mandi di kawasan air terjun tersebut bersama lima ahli keluarganya, manakala yang lain hanya berada didaratan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.