KUCHING, 20 November – Kerajaan Sarawak akan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji pokok kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pembayaran akan dibuat pada Disember ini.
Manakala penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak pula akan menerima RM700 secara sekali bayar pada suku pertama 2025.
“Elaun khas akan mengikut kadar seperti berikut, RM400 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga Gred 4 dan RM500 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 5 hingga Gred 8.
“RM600 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 hingga Gred 15 manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima elaun khas sebanyak RM700,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
"Langkah ini bukan sahaja selaras dengan penyelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tetapi juga mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan penjawat awam di negeri ini," katanya semasa sesi penggulungan hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Katanya, keseluruhan pemberian BKK ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM190 juta.