PUTRAJAYA, 12 November – Jentera kerajaan diseru memperkemas mekanisme kawalan dan pematuhan serta menambah baik kaedah penyampaian perkhidmatan secara berkala.
Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, perubahan proses kerja kerajaan yang lebih anjal, kolaboratif dan adaptif amat diperlukan seiring kemajuan teknologi global.
Langkah ini bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan projek di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Jentera kerajaan perlu mengadaptasi teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), Analitik Data, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Realiti Terimbuh (AR), serta perisian pengurusan projek berasaskan awan.”
“Kerajaan juga sedang meneroka penggunaan teknologi masa hadapan seperti blok rantai bagi mempertingkatkan ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah beliau, beberapa agensi telah pun mengaplikasikan teknologi ini, termasuk Jabatan Laut Malaysia melalui Kad Pelaut Digital dan Kementerian Kesihatan melalui Sistem Pengurusan Vaksin.
Selain itu, beliau menegaskan pasukan kerajaan perlu bersedia menggunakan Kriptografi Pasca-Kuanta (PQC) untuk melindungi komunikasi digital negara daripada ancaman siber pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 di sini, hari ini.