fb fb fb fb fb

Insiden bot karam: Dua lagi mayat mangsa ditemukan

Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemukan lemas dalam insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand / Foto APMM, JBPM

LANGKAWI, 12 November -Dua lagi mayat mangsa insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand ditemukan pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban akibat tragedi itu meningkat kepada 22 orang, manakala 14 lagi dijumpai selamat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, mayat pertama dijumpai pada pukul 10.10 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) berhampiran Pulau Singa Besar.

Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) oleh bot PSC 19 untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, satu lagi mayat lelaki ditemukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Selat Chincin, berhampiran Pulau Anak Datai.

“Mayat tersebut telah dibawa ke Jeti Kubang Badak oleh bot JBPM sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi CARILAMAT yang digerakkan seawal 7.30 pagi melibatkan 200 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penyelamat.

Sebanyak 14 aset udara dan laut turut dikerahkan, melibatkan Maritim Malaysia, PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi turut diperluas ke kawasan merangkumi 329.67 batu nautika persegi, dibahagikan kepada 14 sektor pencarian utama di sekitar perairan Langkawi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN