(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Peningkatan peruntukan Bajet 2023 dalam aspek keselamatan dan pertahanan kepada RM35.7 bilion dilihat bakal memberi impak positif dalam meningkatkan keamanan serta kesiapsiagaan anggota pertahanan negara.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata ia adalah langkah proaktif dalam membolehkan kementerian terlibat meneruskan pelaksanaan inisiatif dan projek-projek sedia ada.
Serta, menambah inisiatif dan projek-projek baharu yang bersesuaian.
"Ini semua menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk menjaga keselamatan negara kita dari ancaman anasir-anasir daripada luar dan juga yang berlegar dalam negara kita. Ini tidak kurang juga kalau kita lihat di persisiran pantai kita kerana bajet untuk maritim juga dibuat penambahan dan penambahbaikan.
"Kita lihat ATM, PDRM, APMM akan lebih mantap dengan penambahan bajet ini. dan mereka boleh gunakan kepakaran mereka untuk memilih aset-set yang mereka rasakan lebih relevan dan terkini demi menjamin kesejahteraan keselamatan negara,"katanya.
Tambahnya, pembentangan itu juga bersifat menyeluruh apabila kerajaan turut menjaga kebajikan golongan pesara dengan pemberian 50 peratus diskaun pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara Polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.
Selain turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan anggota dengan memperuntukkan bajet bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan kuarters kediaman PDRM.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita bagi mengulas mengenai Bajet 2023 yang memfokuskan isu keselamatan dan pertahanan.
(Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek)