fb fb fb fb fb

Bajet 2023 peruntuk RM1.5 bilion untuk dana pembiayaan pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Dana pembiayaan pembangunan mampan bernilai RM1.5 bilion disediakan untuk menyokong usaha merealisasi 17 matlamat pembangunan mampan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan turut menumpukan kepada pembiayaan bagi projek-projek strategik melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dana itu adalah antara dana pembiayaan yang akan disediakan dengan tawaran subsidi faedah 1.5 peratus setahun.


(Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan
'Keluarga Malaysia: Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat)

"Kedua, Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion bagi memperkukuh momentum pemulihan sektor pelancongan termasuk pembiayaan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar serta pemuliharaan warisan.

"Ketiga, Dana Pembiayaan Maritim dan Logistik sebanyak RM1 bilion yang diperluas kepada industri sokongan bagi sektor minyak dan gas serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal," katanya di sini.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan Skim Pemulihan dan Sokongan Melalui Ekuiti atau RESET dan Skim Modal Kerja di bawah BPMB dengan dana keseluruhan berjumlah RM1 bilion, bagi memberi sokongan berbentuk suntikan ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas ekoran krisis COVID-19, katanya.

Sejak tahun 2009, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah memudahkan PKS mendapatkan pinjaman bank dengan menjamin hampir 50,000 syarikat bernilai keseluruhan jaminan RM48 bilion.

Menurut Zafrul, untuk tahun 2023, SJPP akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM9 bilion bagi PKS khususnya untuk sektor strategik iaitu agromakanan, teknologi mampan, pelancongan serta vendor minyak dan gas.

"Inisiatif jaminan ini pastinya akan terus membantu syarikat-syarikat PKS mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

"Inovasi kewangan bentuk baharu seperti kaedah pendanaan awam ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) akan terus disokong.

"Instrumen ini berjaya menyediakan pembiayaan modal kepada syarikat pemula seperti Green Lagoon Technology, pengendali loji biogas melalui ekonomi kitaran bagi menjana tenaga hijau daripada sisa kelapa sawit," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Begitu juga, perusahaan sosial seperti Athena Holdings yang menerajui usaha inovatif menyediakan produk mesra alam untuk wanita.

Beliau berkata, bagi menyokong syarikat pemula dalam agenda kelestarian dan perusahaan sosial, Kerajaan akan menyediakan dana Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebanyak RM30 juta sebagai tambahan kepada dana ECF.

Katanya, kerajaan juga bercadang memperluas skop galakan cukai sedia ada bagi pelabur individu dalam syarikat pemula melalui equity crowdfunding meliputi pelaburan yang dibuat melalui syarikat nomini Perkongsian Liabiliti Terhad.

Media Baharu